Haflut Takharruj (Majlis Konvokesyen) Kali Ke Dua Belas Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bokliah


Pada hari Khamis, 01 hb Rabiulawal 1446H bersamaan 05 hb September 2024, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah mengadakan Majlis Haflut Takharruj kali ke dua belas. 

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan penganugerahan syahadah (sijil) Diploma Aliyah Qira'at.

Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.​​

Majlis dimulakan dengan persembahan Hafazan Ayat-ayat Suci Al-Qur'an, Surah Al-Balad, ayat 1 hingga ayat 20 dengan Riwayat Al-Bazzi dari Ibnu Kathir yang disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Awadah Binti Awang Mohamad Ariffin sementara intisari ayat dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Nurqamariah Binti Kepli diikuti dengan sembah alu-aluan dari Menteri Hal Ehwal Ugama.​

Pengurniaan syahadah Diploma 'Aliyah Qira'at kali ini terdiri daripada 11 penerima pangkat Mumtaz (Cemerlang) ,  6 penerima pangkat Jayyid Jiddan (Sangat Baik)  1 penerima pangkat jayyid (Baik) dan 2 penerima pangkat Maqbul (Lulus).  Penganugerahan Diploma 'Aliyah Qiraat Al-Quran kepada para graduan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah sebagai pengiktirafan atas kejayaan para siswa-siswi khusus dalam bidang Hafazan Al-Quran dan ilmu Qiraat.​

Majlis diteruskan dengan ucapan dari wakil graduan Diploma 'Aliyah Qiraat yang akan disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Nurmazrina Binti Abdul Mahmod. Seterusnya laungan Saiyyidul Istighfar dikumandangkan oleh kumpulan siswa tahun satu Diploma 'Aliyah Qiraat.

Bacaan doa selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.​​


Disediakan oleh:

Nurunnabilah binti Awang Haji Adanan

Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah

Kementerian Hal Ehwal Ugama,

Negara Brunei Darussalam

2023 Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Brunei Darussalam
PRIVACY POLICY   DISCLAIMER   TERM OF USE