Sabda
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah,
Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri
pada Majlis Haflut Takharruj Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) Kali Kesebelas Tahun 1445 Hijrah / 2023 Masihi
bertempat Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pada Sabtu, 25 Muharam 1445H bersamaan 12 Ogos 2023M


Assalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh
Bismillaahir Rahmaanir Nir Raheem
Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa'ala Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
SEGALA pujian dan syukur dirafakkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah rahmat dan izinNya jua mengizinkan kita berhimpun di majlis Haflut Takharruj Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah kali kesebelas bagi meraikan 28 graduan bagi tahun Pengajian 2020/2023 yang akan menerima syahadah Diploma masing-masing.
Setinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada semua graduan yang berjaya menamatkan pengajian dan kepada ke seluruh barisan pensyarah serta warga kerja Institut Tahfiz di atas kesungguhan, kecekalan serta komitmen membimbing mereka ke puncak kejayaan.
Doa restu dan peranan signifikan Ibubapa dan penjaga dalam memberikan dorongan dan sokongan moral yang berterusan juga menyumbang kepada pencapaian kejayaan bernilai ini.
Nikmat kejayaan yang dikongsi bersama ini adalah sumber inspirasi untuk seterusnya meraih kejayaan yang lebih besar.
Peluang adalah terbuka luas untuk para graduan melengkapkan diri dengan menambah pengetahuan dan kemahiran baharu menjurus kepada meningkatkan peluang kerjaya dengan memenuhi set kemahiran relevan seiring dengan permintaan pasaran kerja.
Sesungguhnya saya juga menzahirkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang usianya kini genap 3 dekad pada menepati matlamat
dan hasrat murni Paduka Ayahanda bagi seterusnya melahirkan professional yang hafaz Al-Quran seiring dengan perkembangan dan tuntutan pembangunan negara yang holistik.
Namum demikian perkembangan dan pencapaian akademik para pelajarnya tidak semata-mata tertumpu kepada bidang hafazan Al-Quran, malahan juga keberhasilan Institut Tahfiz membangunkan asas yang kukuh pada lepasannya untuk menentukan hala tuju masing-masing di kedua-dua bidang akademik dan pekerjaan.
Perkara ini terbukti dengan kejayaan lepasan Institut Tahfiz dalam Pengajian masing-masing di samping berkeupayaan dan memiliki daya saing menceburi berbagai bidang kerjaya tertentu seperti Kewangan, kedoktoran, kejuruterbangan, kejuruteraan, ketenteraan dan keusahawan dalam bersama-sama menyumbang bakti kepada pembangunan negara.
Saya juga gembira dipahamkan program Diploma 'Aliyah Qira'at yang kini mencapai tahun ke 13 telah berjaya mengeluarkan seramai 221 graduan dalam mana seramai 11 orang kini berkhidmat di Institut Tahfiz sebagai guru hafazan Al-Quran, pegawai ugama dan pegawai pelajaran. Manakala 90 lepasan sedang mengikuti pengajian yang lebih tinggi di dalam dan di luar negara.
Di dalam mendapani berbagai cabaran zaman, institut Tahfiz khususnya pengisian program Diploma 'Aliyah Qira'at perlu memperluaskan lagi peranan dan siap siaga untuk sentiasa proaktif, melihat ruang dan peluang dalam sama-sama menyebarluaskan pengajian Al-Quran Al-Karim sebagai sebahagian amalan mulia kehidupan masyarakat Brunei yang berpaksikan falsafah Melayu Islam Beraja dan pendekatan sebuah negara zikir.
Sayugia pada hemat saya, insiatif tertentu yang menjurus kepada usaha-usaha berkolaborasi bagi memperkasakan pengajian Al-Quran melalui media sosial seperti kaedah hafazan dan tadabbur ayat-ayat pilihan secara tersusun akan dapat menarik minat setiap peringkat umur selaras dengan perkembangan dan akses kepada teknologi infokomunikasi semasa.
Ke arah itu saya juga melihat kewujudan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah sebagai sebuah institut pengajian Al-Quran dan hafazan yang ulung.
Ianya hendaklah juga sentiasa bersedia mengorak langkah ke hadapan dengan memperkukuhkan keupayaan untuk menjalankan kajian dan penyelarasan kaedah meningkatkan hafazan Al-Quran yang sesuai dimanfaatkan dengan demografi negara ini.
Kejayaannya adalah juga menjurus meraih keberkatan Al-Quran dan rahmatnya seperti mafhumnya Surah Al-Isra ayat 82:
“Dan kami turunkan daripada Al-Quran penawar bagi penyakit-penyakit rohani dan jasmani dan rahmat bagi orang-orang yang beriman"
Syarat tunggal untuk kita memperolehi penawar dan rahmat tersebut tidak lain adalah iman yang teguh sepertimana intipati titah Paduka Ayahanda pada majlis sambutan Nuzul Al-Quran 1436H:
“Pembetulan iman yang kukuh adalah merupakan perkara terpenting daripada keberhasilan amalan-amalan masyarakat yang sentiasa berdamping dengan Al-Quran melalui membaca, menghafaz dan mengimani pengajarannya. Ciri orang yang beriman adalah dalam makna percaya dan mematuhi dengan sepenuh hati akan segala suruhan tegahan Allah tanpa sebarang keraguan atau bertahan dengannya. Insha Allah Al-Quran yang kita baca atau hafaz akan menjadi penawar dan rahmat kepada kita"
Pada kesempatan ini, saya sukacita menyeru kepada para graduan dan pelajar termasuk lepasan Institut Tahfiz untuk senantiasa memelihara hafazan Al-Quran dan menghayati apa jua isi kandungannya yang berbentuk pengajian dan teladan sepertimana hasrat Paduka Ayahanda iaitu:
'Pembinaan iman yang kukuh menjurus kepada melahirkan masyarakat yang beriman dan bertakwa.'
Kita sedia mengetahui- bahawa para penghafaz Al-Quran mempunyai kelebihan disisi Allah seperti mafhum hadis Riwayat Ibnu Maja mengenai sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam:
"Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia". Lalu sahabat bertanya : "Siapakah mereka Ya Rasulullah?" Jawab Baginda : "Mereka adalah ahli Al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan orang-orang pilihannya".
Semoga kita semua mendapat syafaat Ahlul Quran dengan adanya ahli-ahli Allah iaitu para penghafaz Al-Quran khususnya di bumi Darussalam yang kita cintai ini.
Saya sekali lagi mengucapkan Alfu Mabruk dan tahniah kepada para graduan yang berjaya serta Ibubapa/Penjaga dan keluarga masing-masing.
Sebagai aset penting yang menjadi penggerak kepada pelaksanaan berbagai rancangan dan agenda pembangunan negara para graduan ditekankan untuk sentiasa menerapkan nilai-nilai murni sesuai dengan sahsiah hamalatul quran.
Harapan besar kita untuk berjaya menanamkan sifat positif dan berdaya maju dalam diri setiap pelajar seiring dengan inspirasi bangsa masyarakat dan negara.
Buat akhirnya, saya juga sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, ahli jawatankuasa dan pihak-pihak yang terlibat menjayakan majlis pada hari ini.
Semoga Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan ganjaranNya yang berupa rahmat syafaat dan pahala berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.