Majlis Haflut Takharruj ITQSHHB Kali Kesembilan Tahun 1443H/2022M

Sabda
Duli Yang Teramat Mulia  Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia  Paduka Seri Baginda 
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah,
Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri


pada Majlis Haflut Takharruj Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) Kali Kesembilan Tahun 1443 Hijrah / 2022 Masihi


Bertempat di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pada Rabu, 15 Rejab 1443H bersamaan 16 Februari 2022M


Assalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh
Bismillaahir Rahmaanir Nir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa'ala Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

SYUKUR ke hadrat Allah ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah rahmat dan izinNya jua kita berpeluang berhimpun dalam Majlis Haflut Takharruj Diploma 'Aliyah Qira'at Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah kali kesembilan.

Syabas dan setinggi tahniah kepada para graduan di atas kejayaan menamatkan pengajian masing-masing. Sesungguhnya kejayaan setiap graduan akan terus menjadi tunjang utama kepada hasrat kita untuk melahirkan generasi huffaz negara yang menyumbang secara langsung kepada kecemerlangan institut serta memelihara kesinambungan generasi penjaga kalamullah.

Malah keberhasilannya juga menjurus kepada mengukuhkan aspek emosi, rohani, jasmani dan intelek kehidupan bermasyarakat seiring dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Tambahan pula kecenderungan masyarakat dalam melestarikan amalan membaca dan mentaddabur Al-Quran serta melazimkan zikir dan doa tertentu kini boleh sahaja dipraktikkan menerusi pelbagai bentuk media masa terkini, semata-mata bagi meraih syafaat ukhrawi dan duniawi serta limpahan rahmatNya.

Ianya adalah juga bagi memohon dihindari daripada segala bentuk bencana yang berpunca dari sifat hubbud dunia atau cintai dunia sebagaimana maksud surah Al-A'raf ayat 204 dan 205:

“Dan apabila Quran itu dibacakan makan dengarlah akan dia serta diamlah dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya. Supaya kamu beroleh rahmat dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu dengan merendah diri serta dengan perasaan takut yakni melanggar perintahMu. Dan dengan tidak pula menyaringkan suara pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang lalai"

Sehubungan dengannya Kementerian Hal Ehwal Ugama khasnya Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah termasuk institut pengajian Islam dan khidmat swasta untuk secara berterusan

mengaktifkan dan memperbanyakkan lagi rancangan halaqah atau program penggalak bagi mengasuh serta meningkatkan kemahiran membaca, menghafaz dan mentaddabur Al-Quran.

Disamping itu, pendekatan yang diguna pakai bagi rancangan dan program sedia ada hendaklah dipelbagaikan dan lebih kreatif dalam usaha mendekati dan melibatkan masyarakat agar mereka lebih berminat dan tertarik untuk menyertainya ke arah memastikan pencapaian rancangan dan program yang luas dengan kesan berimpak tinggi.

Dalam pada itu, peluang adalah terbuka luas bagi para graduan untuk menimba ilmu ke peringkat yang lebih tinggi yang menjurus kepada menambah nilai serta meningkatkan potensi masing-masing sebagai pembimbing masyarakat.

Dalam hubungan ini, saya ingin memetik Titah Paduka Ayahanda pada majlis Haflut Takharruj UNISSA kali ke-9 seperti berikut:

“Pada masa ini tidak terdapat tanggapan walaupun satu pun tentang institusi pendidikan tinggi Islam yang tidak relevan sedang pendapat yang sahih telah meletakkan pendidikan tinggi Islam itu sebagai keperluan asasi yang tidak boleh diabaikan kerana daripadanya muncul tamadun yang sempurna"

Kerana itu Paduka Ayahanda berpendirian, pengajian dan pendidikan Islam mesti terus diperkasa kerana ia adalah teras segala kepentingan yang mampu untuk menghadirkan segala kebaikan untuk bangsa dan negara.

Di sinilah juga pentingnya Institut Tahfiz sendiri untuk terus peka dengan kehendak pengedaran masa khususnya menilai keberkesanan program-program yang diterajui sebagai pemangkin dalam melahirkan lebih ramai model insan berkeupayaan ke arah membantu negara berkembang maju secara progresif.

Akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan dan berharap ilmu yang diraih dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Saya juga tidak lupa merakamkan ucapan setinggi tahniah dan penghargaan kepada kepimpinan pentadbiran dan tenaga pengajar serta warga kerja Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah termasuk Ibubapa dan penjaga di atas semangat gigih, usaha sama dan komitmen berterusan masing-masing yang telah menyumbang kepada kelangsungan program serta kejayaan setiap graduan.

Semoga Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan ganjaran berupa rahmat dan syafaat untuk kita semua. 


2023 Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Brunei Darussalam
PRIVACY POLICY   DISCLAIMER   TERM OF USE