Sabda
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
pada Majlis Haflut Takharruj Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) Kali Kesepuluh Tahun 1444 Hijrah / 2022 Masihi.
Bertempat di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pada Rabu, 19 Muharam 1444H bersamaan 17 Ogos 2022M.

Assalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh
Bismillaahir Rahmaanir Nir Raheem
Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa'ala Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
SEGALA puji dan syukur dirafakkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah rahmat dan izinNya jua, kita dapat berhimpun di majlis Haflut Takharruj Diploma 'Aliyah Qira'at Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah kali kesepuluh bagi meraikan kejayaan 19 graduan hafiz dan hafizah yang akan menerima syahadah diploma masing-masing.
Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada para graduan termasuk ibubapa dan penjaga kerana berkat kesungguhan, keyakinan dan sokongan padu masing-masing yang berbentuk moral dan material makanya siswa-siswi berjaya menamatkan pengajian di institut ini sebagai langkah ke arah kejayaan yang lebih pesat.
Saya difahamkan dari sekian ramai yang masuk ke institut tahfiz pada saban tahun hanya sebahagian kecil sahaja yang berjaya ke peringkat ini dan seterusnya meraih kejayaan.
Biarpun bilangan graduan yang terhad, namum kita yakin dengan kualiti yang terbaik dari setiap lepasan, keberkatan dan kerahmatan dari Al-Quran akan dapat menjamin masa depan graduan-graduan dan juga keselamatan dan kemakmuran negara serta melepaskan kita dari berbagai musibah.
Pengajian Tahfiz Al-Quran dan penguasaan Qira'at yang diwarisi dari zaman Nabi Muhammad Shallalahu 'Alaihi Wa Sallam dan para sahabat masih lagi relevan hingga ke hari ini. Pengajiannya sudah semestinya mempunyai impak dan barakah serta manfaat dalam melestarikan berbagai cabang bidang Pengajian Islam khususnya sebagai teras dalam ilmu Syariah dan Usuluddin.
Islam adalah agama sumul dalam mana Al-Quran adalah sumber ilmu dan petunjuk yang menjadi pemandu cara hidup umat manusia, kerana itu kita dituntut untuk sentiasa mempelajari serta mengamalkan ajarannya seperti mafhum Surah Al-Qamar ayat 17:
“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?"
Ayat dimaksudkan diulang sebanyak empat kali dalam Surah yang sama secara umumnya menurut para ulama maksud ayat ini ialah, Allah Subhanahu Wata'ala telah memudahkan kita untuk membaca menghafaz dan memanfaatkan ilmu Al-Quran. Namum ayat ini juga seolah-olah menegaskan bahawa tidak ada kesannya kalau kita sendiri tidak mempelajari dan mengamalkannya.
Alhamdulillah, dewasa ini semakin ramai yang berminat untuk mempelajari teknik menghafaz Al-Quran. Dengan demikian usaha-usaha untuk mengajarkannya perlu diperluaskan serta dimajukan bersandarkan kepada permintaan dan profil setiap peringkat masyarakat.
Dalam hubungan ini, saya mengambil maklum dan gembira untuk mengetahui bahawa beberapa pusat Pengajian swasta yang dipolopori oleh usahawan tempatan termasuk individu yang ditauliahkan Majlis Ugama Islam Brunei telah tampil menawarkan pengajian seumpamanya kepada orang ramai di negara ini.
Saya berharap momentum perkembangan dan minat terhadapnya akan dapat dijadikan inspirasi kepada pihak-pihak yang berkenaan untuk seterusnya mengembangluaskan akses kepada program-program hafazan yang terbukti kepada golongan sasaran tertentu ke arah melengkapkan sistem Pengajian dan Tadabur Al-Quran yang dapat memacu Negara Brunei Darussalam selaras dengan aspirasi untuk memantapkannya sebagai sebuah negara zikir.
Dengan bertambahnya jumlah alumni Diploma 'Aliyah Qira'at, saya percaya kelas pengajian tahfiz dan Qira'at Al-Quran ini akan dapat dikembangluaskan ke seluruh peringkat masyarakat dan pelusuk negara yang secara tidak langsung menepati atau mencapai matlamat penubuhan institut tahfiz khususnya ke arah meningkatkan bilangan huffaz yang profesional, berdaya maju dan serba boleh yang berpotensi serta berperanan sebagai usahawan pendakwah dan pemimpin masyarakat yang sentiasa berpegang teguh kepada keberkatan kehidupan disamping dapat meraih ganjaran pahala dan syafaat Al-Quran.
Perkembangan positif ini berhubungkait dengan Titah Paduka Ayahanda pada sambutan Hari Belia Kebangsaan ke 17 baru-baru ini yang secara khusus menyentuh mengenai peranan signifikan dan trend transformasi pusat minda di kalangan belia.
Tidak syak lagi para belia adalan komponen kritikal dalam usaha pembangunan negara selaku stakeholder yang dinamik, acuan yang tepat adalah diperlukan untuk menjadikan golongan belia lebih bersedia dalam memacu pembangunan negara.
Hari ini kita melihat transformasi belia sedang berlaku dan mereka itu didapati lebih berwawasan dan berani untuk meneroka bidang-bidang baru yang diantaranya bidang perekonomian, digital, inovasi, sosial agri-business dan industri kreatif.
Akhirnya saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada graduan yang diraikan dan berharap ilmu hafazan Al-Quran dan ilmu Qira'at yang berjaya diraih dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Sesungguhnya setiap graduan atau lepasan institut tahfiz adalah merupakan purih bangsa akan sentiasa mempertahankan jati diri dan memartabatkan identiti kebruneian yang berpaksi falsafah Melayu Islam Beraja.
Saya juga tidak lupa merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada kepimpinan, pentadbir serta tenaga pengajar dan warga kerja institut tahfiz di atas semangat gigih, kerjasama padu dan komitmen berterusan yang telah menyumbang kelangsungan program serta kejayaan setiap graduan di dalam pengajian ini.
Semoga Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan ganjaran berupa rahmat dan syafaat untuk kita semua.
Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.