Majlis Haflut Takharruj ITQSHHB Kali Ketujuh Tahun 1441H/2019M

Sabda

Duli Yang Teramat Mulia  Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Pada Majlis Haflut Takharruj Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) Kali Ketujuh Tahun 1441 Hijrah / 2019 Masihi.


Bertempat di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pada Rabu, 4 Muharam 1441H bersamaan 4 September 2019M.


Assalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh
Bismillaahir Rahmaanir Nir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa'ala Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

SYUKUR ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas izin serta limpah meraikan 26 graduan Diploma 'Aliyah Qiraat di Majlis Haflut Takharruj Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) Kali Ketujuh pagi ini.

Saya dengan tulus ikhlas mengucapkan setinggi tahniah kepada para graduan atas kejayaan masing-masing dan percaya majlis ini adalah merupakan saat paling bermakna kepada setiap graduan khasnya setelah diiktiraf secara rasmi sebagai hafiz dan hafizah. Setentunya usaha untuk meraih kejayaan tersebut adalah berbekalkan kesungguhan dan ketabahan diri, dalam mengharungi pengajian dan jadual yang ketat sebelum hasilnya dapat dituai seperti yang diharapkan.

Lebih manis lagi, pencapaiannya juga didorong oleh kesungguhan dan sokongan padu para ibu bapa dan penjaga yang tidak mengenal erti penat lelah demi kejayaan anak didik masing-masing. Penghargaan dan tahniah juga harus diberikan khasnya kepada para pensyarah dan seluruh warga institut atas komitmen berterusan bagi memastikan program pengajian para graduan sepanjang tempoh tiga tahun sasaran yang dihajati.

Malah, kecekalan dan kecekapan dalam mempersiapkan para graduan melalui kurikulum berkesan, merupakan pendukung utama kepada visi untuk menjadikan institut ini sebagai 'Institut Tahfiz dan Perkembangan Al-Quran yang cemerlang dalam mendidik pelajar, menyelidik dan menyebarkan Al-Quran di peringkat negara dan serantau terutama di kalangan negara-negara ahli MABIMS dan antarabangsa'.

Saya turut berbangga dengan pencapaian Institut Tahfiz setakat ini dalam mana saya difahamkan seramai 202 orang siswa dan siswi telah diterima mengikuti program diploma sepanjang 10 tahun program ini dilaksanakan.

Program Diploma 'Aliyah Qiraat yang dikendalikan merupakan satu-satunya bidang pengajian seumpamanya di negara ini, lantas menjadikannya program unggul dalam bidang pengajian Al-Quran di peringkat tertiari. Ke arah itu, kita juga terus mengharapkan agar Institut Tahfiz akan menjadi pilihan utama di kalangan anak-anak dan ibu bapa di negara ini khususnya yang menginginkan kejayaan di dunia dan akhirat.

Sebagai umat Islam, untuk meraih kecemerlangan hakiki di alam akhirat, setiap Muslim adalah juga diperlukan cemerlang dalam urusan duniawinya. Dengan demikian, di sinilah juga pentingnya untuk kita bersama-sama meraih keberkatan dan mukjizat Al-Quran dengan berusaha mendalami ilmu dan kandungan Al-Quran sebagai amalan dan pedoman hidup sepanjang hayat.

Menyentuh mengenai keberkatan, seyogialah diketahui bahawa negara kita InsyaaAllah akan menjadi berkat dan akan sentiasa dalam keberkatan dan pemeliharaan Allah selagi mana para huffaz dan pembaca Al-Quran konsisten dengan amalan menghafaz dan mendalami ilmu-ilmu Al-Quran.

Dalam hubungan ini, saya juga amat menghargai peranan institut pengajian tinggi termasuk da'ie-da'ie bertauliah dalam bersama-sama meningkatkan kesedaran serta kefahaman masyarakat tentang syiar Islamiah. Usaha-usaha tersebut merangkumi program-prpgram di peringkat akar umbi dan institusi masjid yang menjurus kepada memastikan masyarakat celik di samping meningkatkan kemahiran mengaji Al-Quran serta penghayatannya melalui kelas-kelas tadabbur Al-Quran.

Justeru, para hafiz dan hafizah akan seterunya peka terhadap tanggungjawab lebih besar yang perlu dipikul masing-masing. Hafalan Al-Quran yang tersemat di dalam dada setiap hafiz dan hafizah bukanlah setakat untuk memelihara hafazan semata-mata. Mereka juga turut dituntut berusaha mendalami maksud dan inti pati ayat-ayat Al-Quran termasuk melestarikan pengajaran yang terdapat di dalamnya. Semua ini adalah sebagai asas dan sumber pembelajaran sepanjang hayat yang releven ke arah memperkasa kehidupan bermasyarakat dan beragama sekali gus menzahirkan serta mengekalkan keberkatannya kepada negara ini.

Dalam masa yang sama, martabat tinggi seorang hafiz atau hafizah Al-Quran itu pula bukan sahaja dinilai dari hafazannya, malah dari sudut akhlaknya yang selari dengan ajaran Islam yang terkandung dalam Al-Quran. Mereka mestilah sentiasa menjaga keterampilan dan batas-batas aurat lahiriah sebagai mencerminkan sifat keperibadian Muslim yang sebenar dan konsisten tidak mengira waktu dan tempat.

Natijahnya, para penghafaz Al-Quran hendaklah memiliki akhlak Al-Quran sebagaimana yang diceritakan oleh Sayyidatina Aisyah Radiallahuanha bahawa "Sesungguhnya akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah Al-Quran".

Begitu besar dan berat sekali tanggungjawab seorang hafiz dan hafizah. Maka para huffaz hendaklah sentiasa muhasabah diri supaya mereka sentiasa berada di atas landasan yang betul. Akhlak yang mulia juga merupakan dakwah kepada orang ramai dan menjadi contoh ikutan yang baik.

Saya menyeru kepada pihak-pihak yang berkenaan untuk terus memberikan sokongan sewajarnya terhadap kelestarian termasuk keperluan untuk terus memperkasakan kecemerlangan pendidikan tahfiz Al-Quran di negara ini. Dengan demikian, InsyaAllah hasrat negara untuk melahirkan lebih ramai lagi generasi Al-Quran yang berkualiti akan dapat dicapai.

Akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan serta para pemimpin, pentadbir dan tenaga pengajar serta warga ITQSHHB termasuk para ibu bapa dan penjaga sekalian. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala jua yang akan membalas mereka dengan ganjaran yang setimpal.

Sekian, ​​Wabillahi Taufiq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​


2023 Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Brunei Darussalam
PRIVACY POLICY   DISCLAIMER   TERM OF USE