Majlis Haflut Takharruj ITQSHHB Kali Kelima Tahun 1438H/2017M

Sabda

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan Di Jabatan Perdana Menteri

Pada Majlis Haflut Takharruj Institut Tahfiz Al-Qur'an Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) kali kelima tahun 1438 Hijrah / 2017 Masihi 

Bertempat di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) pada hari Khamis, 01hb Zulhijjah 1438H bersamaan 24hb Ogos 2017M


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

BERSYUKUR kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah dan rahmat-Nya jua, kita sekali lagi dapat berkumpul di Majlis Haflut Takharruj, Diploma A'aliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Qur'an Sultan Haji Hassanal Bolkiah buat kali Ke-lima. 

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan yang diraikan. Turut dirakamkan juga ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada para ibu bapa, penjaga dan pensyarah yang sentiasa bekerja keras untuk melihat para graduan beroleh kejayaan. 

Alhamdulillah, Program Pengajian Diploma 'Aliyah Qiraat Institut Tahfiz ini telah menjangkau usia tujuh tahun. Dalam tempoh tersebut, ianya telah melahirkan ramai huffaz negara atau graduan muda yang jelas komited dalam memartabatkan ayat-ayat suci Allah Subhanahu Wata'ala. 

Dalam hal ini, saya amat gembira mengetahui bahawa Institut Tahfiz telah mengorak langkah ke arah memperluaskan lagi bidang pengajian Al-Qur'an yang berbentuk ilmiah dan seni seperti tarannum Al-Qur'an. Melalui jalinan kerjasama akademik dengan Universiti Islam Sultan Sharif Ali, para graduan Diploma 'Aliyah Qiraat berpeluang pula meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi di dalam negara melalui program Sarjana Muda Tahfiz dan Qiraat. 

Justeru, para graduan Diploma 'Aliah Qiraat disaran untuk seterusnya merebut peluang keemasan tersebut. Harapan kita ialah para graduan dapat memanfaatkan sebaiknya ilmu yang diperolehi supaya boleh berbakti kepada negara. Ini termasuk mengajarkan dan mengembangkan ilmu Al-Qur'an, khasnya kepada saudara seagama dan masyarakat awam secara umumnya. 

Perkara ini amat bersesuaian dengan peranan seorang Hammalatul Qur'an atau "Pembawa Al-Qur'an" yang berupaya mencetus inspirasi kepada masyarakat untuk lebih dekat dan berpegang teguh dengan ajaran Al-Qur'an melalui syiar penyebarannya seperti mana maksud Surah Maryam ayat 97:

"Maka sesungguhnya telah kami mudahkan Al-Qur'an itu dengan bahasamu agar kamu dapat memberi khabar gembira dengan Al-Qur'an itu kepada orang-orang bertaqwa dan agar kamu memberi peringatan dengannya kepada kaum yang membangkang". 

Seperti mana kita sama ketahui, menuntut ilmu adalah fardu kifayah ke atas setiap muslim termasuk amanah dan tuntutan untuk menyebarkannya kepada masyarakat umum. Ini lebih-lebih lagi ilmu itu bersumberkan dari Al-Qur'an sebagai kitab yang teragung dan suci dan bukan ilmu biasa. 

Dengan tersebarnya ilmu Al-Qur'an, bukan sahaja kejahilan boleh dihapuskan. Malahan lebih penting lagi, penyebarannya pasti dapat membimbing masyarakat untuk sentiasa membuat perkara yang lebih berkebajikan sehingga dapat melahirkan semua peringkat masyarakat yang benar-benar menjunjung kitab suci Al-Qur'an serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian. 

Namun ke arah mempersiapkan para graduan secara menyeluruh, adalah penting bagi mereka untuk dibekalkan dengan kemahiran diri melalui disiplin pendidikan yang selari dengan tuntutan zaman seperti kepimpinan dan keusahawanan. Keupayaan ini sedikit sebanyak akan dapat membentuk graduan yang mempunyai sahsiah dan keperibadian yang berintegriti tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan dan ehsan Kerajaan. Sebaliknya mereka ini pula dapat menjana peluang-peluang pekerjaan kepada orang lain dalam berbagai bidang yang relevan dengan keperluan semasa. 

Perlu diingat, apa pun bidang pekerjaan yang diceburi, ianya akan lebih mempunyai nilai dan dipandang tinggi di sisi masyarakat jika pengemudinya itu seorang yang berjiwa Al-Qur'an, mahir dalam bacaan dan ilmu-ilmu Al-Qur'an, khatam hafaz Al-Qur'an dan seorang yang tsabit hafazan 30 juzu' Al-Qur'an. Maka adalah wajar bagi para graduan agar sentiasa peka serta mengambil ruang dan peluang untuk mempertingkatkan dan menguasai pelbagai disiplin ilmu serta berbagai cabang kemahiran yang bermanfaat kepada memacu negara menjadi sebuah negara cemerlang yang berpandukan Al-Qur'an. 

Oleh yang demikian, saya amat berharap agar para graduan tidak berhenti setakat ini sahaja dalam mencari ilmu, sebaliknya menanamkan azam yang kuat untuk sentiasa menambah pengetahuan yang bersesuaian bagi menyahut cabaran dan zaman globalisasi masa kini. 

Sekali lagi, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan yang diraikan dan berbanyak-banyak penghargaan kepada seluruh warga Institut Tahfiz Al-Qur'an Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang meliputi Ahli-Ahli Lembaga, Ahli-Ahli Jawatankuasa, tenaga akademik, seluruh pegawai serta kakitangan Institut di atas segala sumbangan dan khidmat bakti mereka. 

Semoga Allah Subhanahu Wata'ala jua yang akan membalas mereka dengan ganjaran yang berlipat ganda. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. ​


2023 Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Brunei Darussalam
PRIVACY POLICY   DISCLAIMER   TERM OF USE