Majlis Haflut Takharruj ITQSHHB Kali Keempat Tahun 1437H/2016M

Sabda

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan Di Jabatan Perdana Menteri.

Pada Majlis Haflut Takharruj Institut Tahfiz Al-Qur'an Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) kali keempat tahun 1437 Hijrah / 2016 Masihi.

Bertempat di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) pada hari Khamis, 06hb Zulhijjah 1437H bersamaan 08hb September 2016M.


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillaahi  Rabbil 'Aalameen,  Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa 'Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du​

SYUKUR kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin serta limpah rahmat-Nya jua kita dapat berkumpul bagi Majlis Haflut Takharruj Diploma Aliyah Qira'at Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) Kali Keempat.

Saya seterusnya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan di atas kejayaan masing-masing. Semua ini adalah atas berkat ketekunan dan kesabaran yang tinggi dalam meningkatkan ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang Qira'at Al-Quran.

Saya benar-benar berharap kejayaan ini akan merangsang semangat para graduan untuk terus berusaha untuk meningkatkan sumbangan masing-masing dalam menyebar dan menyemarakkan syiar Islam kepada masyarakat, bangsa dan negara.

Saya percaya negara dan kita semua yang berpayung di bawahnya akan memperolehi keberkatan dan syafaat dari kesucian Al-Quran.

Alhamdulillah, pengenalan Program Diploma Aliyah Qira'at yang bermula pada 2010 telah memberikan peluang yang luas kepada para graduan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Dalam masa yang sama, ia dapat melahirkan ilmuwan dalam berbagai bidang kepakaran dan kerjaya serta huffaz.

Amalan dan gaya hidup masa kini sentiasa terdedah kepada berbagai elemen yang mencabar minda dan akidah. Kadang-kadang ianya tidak serasi dengan syariat dan budaya masyarakat Islam setempat.

Lebih membimbangkan, arus globalisasi dan kepesatan teknologi info-komunikasi telah membuka ruang yang luas kepada masyarakat dengan fahaman dan ideologi yang merosakkan akal, meruntuhkan akidah, institusi kemasyarakatan dan kesucian Islam.

Justeru, kita memerlukan Generasi Huffaz yang sentiasa bersedia mencurahkan bakti dan menyumbang secara produktif kepada pembangunan masyarakat dan bangsa Brunei.

Mereka ini adalah merupakan salah satu tonggak yang boleh memimpin masyarakat kita untuk terus taat beramal serta menghayati ajaran Islam dan Al-Quran yang syumul.

Tegasnya, agama dan tamadun bangsa adalah bertunjangkan kepada generasi penerus yang mantap rohani dan jasmaninya. Maka, para graduan adalah kelompok masyarakat yang diharapkan bagi sama-sama menanai tanggungjawab ke arah menghasilkan Generasi Huffaz.

Ini sangat bertepatan dengan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis yang diriwayatkan Sahih Al-Bukhari dari 'Uthman bin 'affan, mafhumnya :

"Sesungguhnya sebaik-baik manusia di antara kamu adalah orang-orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.''

Oleh itu, para graduan adalah bertanggungjawab untuk sentiasa memperkemas dan mempersiapkan diri ke arah menegakkan syiar Islam bersandarkan prinsip maqasid syariah.

Ini adalah sangat mustahak bagi menjamin dan melindungi maruah agama serta memelihara kepentingan dan kehormatan individu. Perkara ini setentunya akan menjalin keharmonian hubungan sesama insan yang menjurus kepada pembentukan institusi masyarakat madani yang progresif.

Sebagai langkah ke hadapan, Generasi Huffaz perlu diperkasakan sesuai dengan tanggungjawab dan amanah ke arah menegakkan syiar Islam. Selaku ilmuwan Islam, mereka perlu saling memanfaatkan dan mengongsikan ilmu pengetahuan berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.

Dengan cara sedemikian, saya percaya kita dapat memimpin dan membimbing masyarakat yang beriman dan bertakwa menurut landasan Islam yang sebenar.

Matlamat ini adalah selaras dengan aspirasi paduka ayahanda dalam pembangunan sebuah Negara Zikir yang didukung oleh masyarakat yang beriman dan bertakwa.

Ini disertai dengan minda dan mentaliti yang mantap dengan nilai-nilai luhur Islam sebagai teladan umat sejagat.

Akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan pada hari ini. Ini termasuk peranan kepimpinan, pentadbir dan tenaga pengajar serta warga ITQSHHB.

Ucapan tahniah juga dilaratkan kepada ibu bapa dan penjaga yang sentiasa memberikan sokongan, dukungan dan komitmen yang tinggi demi kelangsungan program. Semoga Allah mengurniakan ganjaran yang berkebajikan kepada mereka semua.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​​


2023 Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Brunei Darussalam
PRIVACY POLICY   DISCLAIMER   TERM OF USE