Majlis Haflut Takharruj ITQSHHB Kali Ketiga Tahun 1436H/2015M

Sabda

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan Di Jabatan Perdana Menteri.

Pada Majlis Haflut Takharruj Institut Tahfiz Al-Qur'an Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) kali ketiga Tahun 1436 Hijrah / 2015 Masihi.

Bertempat Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) pada hari Khamis, 19hb Zulkaedah 1436H bersamaan 03hb September 2015M


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillaahi  Rabbil 'Aalameen,  Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa 'Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du

SAYA bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin serta kurnia-Nya juga kita dapat berkumpul dan menghadirkan diri dalam Majlis Haflut Takharruj Diploma 'Aliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) Kali Ketiga.

Saya seterusnya mengucapkan tahniah kepada graduan-graduan yang diraikan pada hari ini. Sesungguhnya semua ini terhasil dari daya usaha, kegigihan dan sifat sabar masing-masing dalam menjalani pembelajaran.

Saya sangat yakin bahawa kejayaan yang dicapai ini adalah merupakan titik tolak permulaan bagi setiap graduan ke arah bersiap sedia untuk berkhidmat dan menabur bakti kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara.

Alhamdulillah, sejak penubuhan ITQSHHB pada tahun 1993 hingga sekarang, kita telah berjaya melahirkan seramai lebih daripada 200 orang huffaz. Dari jumlah tersebut, saya difahamkan seramai 40 orang telah diiktiraf lulus dalam Ujian Tasmie Menghafaz Al-Qur'an 30 Juzuk peringkat negara. Tidak syak lagi, tanggungjawab sebagai seorang penghafaz Al-Qur'an adalah sangat mencabar. Ianya memerlukan penjagaan keterampilan diri dari kedua-dua aspek kerohanian dan juga lahiriah.

Memelihara kedua-dua aspek tersebut perlulah dilihat secara serius terutama sekali pembawaan diri dalam pergaulan. Ini kerana seorang penghafaz itu dilihat sebagai role model terbaik dan mulia dari pandangan masyarakat.

Perkara berhubung keterampilan dan akhlak sedemikian ini adalah menjurus kepada akhlak Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagaimana maksud firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Qalam ayat 4 :

''Dan sesungguhnya engkau wahai Muhammad berada di atas akhlak yang agung.''

Ummul Mukminin Sayyidatina Aisyah Radhiallahuanha pula ketika ditanya bagaimanakah akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, beliau menjawab :

''Adalah akhlak Baginda itu cerminan daripada Al-Qur'an.''

Oleh itu, saya menyeru para graduan yang diraikan, untuk terus menuntut ilmu Al-Qur'an dan yang berkaitan dengannya.

Kuatkan lagi azam untuk meningkatkan lagi ilmu pengetahuan yang sedia ada. Ini termasuk dengan mengikuti kursus-kursus pengajian yang bersesuaian yang disediakan oleh Kerajaan Paduka Ayahanda.

Mudah-mudahan dengan cara ini akan bertambahlah lagi bilangan orang-orang yang berilmu tinggi, khususnya dari kalangan para penghafaz Al-Qur'an di negara ini sebagai penyebar ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat.

Menyentuh mengenai penyebaran ilmu yang diperolehi dari Al-Qur'an, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda yang bermaksud :

''Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar Al-Qur'an kemudian mengajarkannya kepada orang lain?''

Tambahan lagi, kedudukan orang yang berilmu mempunyai tempat yang teristimewa di sisi Allah Ta'ala, Tuhan Pemilik segala ilmu, sebagaimana firman Allah Ta'ala di dalam Surah Al Mujadalah ayat 11 yang kira-kira bermaksud :

''Allah Ta'ala mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat.''

Natijahnya apa yang kita harapkan ialah para siswa dan siswi tidak hanya memberikan perhatian setakat hafalan Al-Qur'an semata-mata. Para siswa dan siswi perlu mempelajari ilmu-ilmu lain yang pada hakikatnya juga penting dan mampu menambah nilai dalam usaha untuk lebih memahami serta menghayati Al-Qur'an itu sendiri.

Dalam perkara mempelajari Al-Qur'an ini, Paduka Ayahanda dalam titah baginda bersempena Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Bagi Tahun 2013 Masihi, turut mengingatkan bahawa berguru itu ada keberkatan apabila membaca Al-Qur'an, berbeza dengan semata-mata bergantung kepada buku atau internet di mana orang boleh saja melakukan kesilapan atau keliru.

Melalui pendekatan sedemikian ini setentunya mampu melengkapkan keupayaan setiap para graduan untuk menonjolkan diri dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat, lebih-lebih lagi membimbing para belia ke arah merealisasikan ajaran Al-Qur'an dalam kehidupan.

Dari sudut yang berlainan pula, kecepatan penyebaran maklumat tanpa sempadan turut memberikan cabaran kepada ugama kita, khususnya kewujudan kepelbagaian aliran kefahaman yang semakin meluas.

Kita semua perlulah lebih berhati-hati dan jangan mudah terjebak kepada mana-mana ideologi baru yang bertentangan dengan prinsip akidah Ahli Sunnah Waljamaah yang merupakan sendi terpenting dan pegangan masyarakat Islam di negara ini sejak sekian lama.

Sayugia, jangan semudahnya menghukum apatah lagi jika hanya bersandarkan pembacaan yang sangat terhad seperti artikel ataupun beberapa buku.

Jika ada persoalan mahupun sebarang permasalahan, maka perlulah merujuk kepada ilmuwan-ilmuwan Islam yang diiktiraf oleh Kerajaan Paduka Ayahanda.

Walaupun mungkin ia dilihat logik pada akal, tetapi ingatlah, bahawasanya Islam tidak berdiri pada logik semata-mata, bahkan sesuatu hukum mahupun keputusan itu hendaklah ianya bersandarkan kepada Al-Qur'an, Sunnah, Ijma' dan Qiyas.

Di sinilah juga pentingnya bagi pihak-pihak yang berkenaan untuk sentiasa peka kepada apa-apa yang berlaku yang boleh menimbulkan salah faham dan perbalahan, yang akhirnya membawa perpecahan pada umat Islam di Negara Brunei Darussalam yang tercinta ini.

Akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan pada hari ini.

Barang setentunya kejayaan ini tidak akan terhasil tanpa adanya semangat gigih, usaha sama dan komitmen pelbagai pihak para ibu bapa, penjaga, tenaga pengajar serta warga ITQSHHB. Semoga Allah mengurniakan ganjaran yang berkebajikan kepada mereka semua.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​​​


2023 Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Brunei Darussalam
PRIVACY POLICY   DISCLAIMER   TERM OF USE