Sabda
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan Di Jabatan Perdana Menteri.
Pada Majlis Haflut Takharruj Institut Tahfiz Al-Qur'an Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) kali kedua Tahun 1436 Hijrah / 2014 Masihi
Bertempat di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) pada hari Khamis, 20 Muharram 1436H bersamaan 13 November 2014M
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillaahi Rabbil 'Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa 'Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du
ALHAMDULILLAH, syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas izin serta limpah rahmat-Nya jua, kita berpeluang untuk hadir di Majlis Haflut Takharruj bagi penganugerahan sijil Diploma 'Aliyah Qiraat, sesi pengajian tahun 2011 - 2014.
Majlis yang penuh keberkatan ini adalah merupakan keberhasilan usaha berterusan kerajaan Paduka Ayahanda dalam memartabatkan pendidikan Al-Quran di negara ini.
Ianya adalah juga semata-mata berasaskan keyakinan yang mendalam bahawa pendidikan Al-Quran berupaya untuk membina masyarakat yang bertaqwa, bersikap adil dengan berasaskan kasih sayang, mengeratkan persaudaraan, bertolak ansur, bertanggungjawab dan bertindak mengikut garis panduan serta ajaran-ajaran suci Al-Quran.
Namun matlamat utamanya ialah untuk mendidik manusia supaya sentiasa mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Alhamdulillah, keutamaan serta kepentingan pendidikan Al-Quran di negara ini jelas tergambar sepertimana juga pengamatan Paduka Ayahanda semasa bertitah di Majlis Haflut Takharruj yang pertama tahun lepas bahawasanya kecenderungan para ibu bapa dan masyarakat dalam perkara memberikan pendidikan Al-Quran kepada anak-anak adalah sangat menggalakkan.
Demikianlah juga hasil yang dapat kita lihat pada hari ini di mana para siswa dan siswi telah berjaya mencipta sejarah mereka tersendiri dengan penganugerahan sijil Diploma 'Aliyah Qiraat masing-masing.
Semoga apa yang di perolehi akan menyamarakkan lagi semangat para graduan untuk terus gigih dalam menimba ilmu, memanfaatkannya serta dapat menyumbang kepada Ugama, masyarakat dan negara.
Di sinilah juga letaknya kesungguhan dan komitmen tinggi yang diperlukan bagi merealisasikan apa jua yang di cita-citakan.
Apatah lagi bagi para penimba ilmu yang menghafal Al-Quran, yang mana ianya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan tanpa adanya disiplin, keperibadian yang tinggi, serta pendirian yang teguh dalam menghadapi cabaran kehidupan dunia yang dibawa oleh arus globalisasi masa kini.
Kita seharusnya bersyukur dengan nikmat serta izin yang telah dianugerahkan Allah Subhanhu Wata'la, iaitu dengan adanya pengajian Al-Quran dan Qiraat di peringkat diploma di Institut Tahfiz.
Melalui instituti seumpama inilah nanti kita berupaya meraih keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala serta menghasilkan suasana barakah di kalangan setiap lapisan rakyat di Negara Brunei Darussalam ini.
Natijahnya, barakah atau berkat, hanya akan datang apabila rakyat ataupun masyarakatnya beriman dan bertaqwa sebagaimana Rasul junjungan kita Nabi Muhammad Sallahu 'Alaihi Wasallam telah dakwahkan kepada kita.
Oleh itu, saya menyeru kepada para graduan yang diraikan pada hari ini secara khususnya, agar sentiasa berusaha menjaga dan mengagungkan Al-Quran dalam diri mereka sendiri, kerana manfaatnya akan terpancar dalam seluruh aspek kehidupan mereka dan juga orang sekeliling mereka.
Kepentingannya tidak dapat dipertikaikan lagi kerana mereka inilah yang sedang dan akan menjadi role model bagi umat Islam di negara ini.
Apatah lagi, penekanan kita terhadap Al-Quran ini, seperti membacanya, menghafalnya, mahupun belajar mengenainya, merupakan salah satu penyumbang besar ke arah merealisasikan hasrat murni untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.
Di kesempatan ini, Saya ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada setiap graduan yang akan menerima diploma masing-masing.
Pujian dan penghargaan juga perlu diberikan terhadap peranan semua ibu-bapa dan penjaga setiap graduan.
Pengorbanan, sokongan dan dorongan mereka adalah sumber inspirasi yang paling berharga ke arah pencapaian kejayaan mereka semua.
Pada mengakhirinya, Saya ingin menyeru para graduan serta siswa dan siswi di Institut ini khususnya, serta rakyat Negara Brunei Darussalam yang berugama Islam umumnya agar sering muhasabah diri ataupun self-reflection ke atas niat masing-masing agar perjalanan kita di dunia ini akan tetap lurus dan dilimpahi rahmat Allah yang tidak putus-putus.
Ini kerana kita yakin bahawa kejayaan yang kita harapkan bukan hanya setakat di dunia ini semata-mata malah yang penting sekali juga kejayaan di akhirat.
Sekian. Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarkatuh.